Sunday, April 17, 2011

Kejohanan Catur MSSD Kuala Selangor


Kejohanan catur MSSD Kuala Selangor telah berlansung selama tiga hari minggu lepas di SMK Saujana Utama.

Kategori sekolah rendah - L12 dan P12

Seramai 42 orang pemain dari 11 buah sekolah telah menyertai kategori P12 atau Perempuan Bawah 12 Tahun. Nur Najiha Azman dari SKSU (Saujana Utama) unggul mengutip mata penuh setelah menang kesemua 7 pusingan. Dua orang pelajar SJKMT iaitu Tan Chian Chian dan Pua Yu Ying mendapat tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing memungut 6/7 dan 5.5/7 mata. 

Najwan - Juara L12
Bagi kategori lelaki (L12) pula, johan disandang oleh Muhd Najwan Azman dari SKSU. Najwan menang kesemua tujuh permainan menewaskan Ng Cher Tat dan Tan Weoi Peng ditempat kedua dan ketiga. Ini bermakna, SKSU telah membolot kedua-dua pingat emas bagi kategori sekolah rendah.

Kategori sekolah menengah rendah - L15 dan P15

Pemain tuan rumah, Nur Nabila Azman, telah muncul sebagai johan bagi kategori P15. Beliau unggul dengan 7 kemenangan menewaskan kesemua lawannya termasuk Anis Fariha Saleh dari SMS di pusingan keenam. Aina Hanum, juga dari SMS, berada di tempat ketiga setelah seri dengan Anis Fariha di pusingan terakhir. Kategori ini telah disertai oleh 38 orang peserta.

Nur Nabila (kiri) dan Anis Fariha (kanan)

Irfan Haqqim - Juara L15

Bagi kategori L15 pula, Irfan Haqqim telah muncul sebagai johan setelah menewaskan kesemua 49 orang pesaingnya. Tetapi agak malang apabila beliau gagal membantu pasukannya untuk memenangi acara berpasukan.    

Kategori sekolah menengah rendah - L18 dan P18

Nur Sabrina dari SMKPA telah muncul juara bagi kategori P18. Dengan 6/7 mata dan tiebreak yang lebih tinggi, dia telah menewaskan Nurul Amiera Shahira dari SMKSD dan Lau Saw Tyng dari SMKTJ. Seramai 50 peserta bersaing dalam kategori ini.

Juara kategori L18
Muhd Syakir Shazmeer, pelajar Tingkatan 5 SMS, telah muncul sebagai juara bagi kategori L18. Dia telah berjaya memungut mata penuh 7/7. Naib johan telah dimenangi oleh Nabil Azman dari sekolah tuan rumah. Sementara tempat ketiga telah dimenangi oleh Ibnu Fahmi dari SMKJ. 54 pemain dari 14 buah sekolah telah bersaing dalam kategori ini.

No comments:

Post a Comment